USAH PENDAM DENDAM AGAR HATI LEBIH BAHAGIA.
Percayalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasih!
"Pijaklah kepalaku ini wahai Bilal! Demi Allah, ku pohon kau pijaklah!"
Abu Dzar Al-Ghiffari meletakkan kepalanya di tanah yang berdebu. Dilumurkan pasir ke wajahnya dan dia menunggu dengan penuh harap agar terompah Bilal bin Rabah segera mendarat di pelipisnya.
"Ku mohon Bilal saudaraku... Pijaklah wajahku. Demi Allah aku berharap dengannya Allah akan mengampuniku dan menghapuskan sifat jahiliah dari jiwaku!"
Abu Dzar merintih dalam tangisannya.
Hatinya bercampur aduk. Menyesal, sedih, takut, marah pada diri sendiri. Dia berasa begitu lemah berhadapan dengan hawa nafsunya. Penyesalannya begitu kuat kerana mengherdik Bilal 'Anak budak hitam' apabila dirasakan Bilal gagal menggalas amanah yang diberikan.
"Ku mohon pijaklah kepalaku!"
Sayang, Bilal terus menggeleng dengan mata berkaca-kaca. Dibangunkan Abu Dzar lantas beliau memeluknya dengan esak tangisan.
Tiada sekelumit dendam pun di hati Bilal bin Rabah. Abu Dzar sahabatnya. Untuk apa dia terus menyimpan dendam kepada Abu Dzar lantaran keterlanjuran Abu Dzar mengherdiknya?
Dendam, sama macam percikan api yang menyambar sehelai daun di sebatang pokok. Makin lama makin merebak hingga akhirnya hangus satu belantara!
Kesannya, hilanglah tempat berteduh unggas di hutan, hilanglah keharmonian yang pernah terbina.
Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu!
"Nah pisau, tikam aku! Moga lepas kau tikam aku, dendam kau kat aku terhapus, moga kau lebih bahagia!"
Persoalannya, sejauh mana dendam akan terhapus? Sejauh mana bahagia dapat dikecapi?
Kerana akhirnya yang ketawa hanyalah syaitan.
"Yes! Berjaya pun aku pecah belahkan anak-anak Adam! Hahahaha!"
Instead of kita menangkan syaitan dengan musnahnya ukhwah yang pernah terjalin, lebih baik hancurkan gelak tawa syaitan dengan maaf dan berlapang dada!
Ya, susah memang susah. Lebih-lebih lagi pernah terasa hati, tercalar maruah, rasa terhina, ditikam belakang dan sebagainya.
Maaf bukanlah bermakna berlepas tangan.
"Kau dah rompak rumah aku, takpe aku maafkan!"
Bukan begitu sahabat, bukan!
Tapi ambillah tanggungjawab untuk mengubah kemungkaran yang pernah mereka lakukan! Samada dengan nasihat, tindakan undang-undang, bimbingan dan sebagainya.
Hingga akhirnya, kemungkaran yang pernah berlaku lenyap selama-lamanya bersama lenyapnya gelak tawa syaitan.
Kemaafan itu indah dan Allah sukakan keindahan! Rebutlah kebahagiaan yang didasari rasa keimanan kepada Allah dengan menghapuskan dendam dalam jiwa.
Moga derap kaki kita terdengar di syurga laksana Bilal bin Rabah yang jiwanya penuh dengan sifat pemaaf.
Sungguh, Allah Maha Pengasih dan Maha Menerima Taubat!
No comments:
Post a Comment
awak yang cute mute tu , tekan sini untuk komen :)